'Pintar' ~ smart, intelligent, & wise.

Sunday, March 3, 2013

Tingkatkan martabat wanita

14/11/2006
Cita-cita Nor Sheereen tingkatkan martabat wanita
KUALA LUMPUR 14 Nov -- Nor Sheereen Zulkefly tidak pernah alpa sebagai anak tunggal sebaliknya pelajar berusia 21 tahun ini bercita-cita murni mahu membantu meningkatkan martabat wanita agar mereka mampu menerokai bidang yang memerlukan tahap kepakaran tinggi.
Sarjana Muda Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memperoleh mata gred purata kumulatif (CGPA) 4.0 itu mahu agar sumbangan wanita dalam proses pembangunan insan dan negara tidak dikesampingkan dan diberi perhatian yang sewajarnya.
Sehubungan itu, pelajar cemerlang itu berminat untuk menjadi pakar psikologi klinikal untuk membantu golongan yang mempunyai masalah daripada segi mental dan emosi mengharungi kehidupan mereka dalam keadaan yang lebih baik.
Nor Sheereen bersama 15 lagi pelajar cemerlang Institut Pengajian Tinggi Awam hari ini menerima Anugerah Pingat Emas Pergerakan Wanita UMNO 2006 oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Rafidah Aziz pada persidangan agung tahunan pergerakan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Wanita perlu membuktikan bahawa mereka mampu menerokai bidang-bidang yang memerlukan tahap kepakaran yang tinggi, katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah itu.
Bagi mencapai impiannya itu, katanya beliau akan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam masa terdekat ini.
Beliau yang bertugas sebagai pembantu penyelidik di UPM pada masa ini, berkongsi minat dalam bidang yang sama dengan ibunya Prof Dr Rozumah Baharuddin, seorang pensyarah dalam bidang Ekologi Manusia di universiti yang sama.
Nor Sheereen menjelaskan bahawa kejayaannya dalam bidang pelajaran banyak didorong ibu bapa dan rasa tanggungjawab untuk menumpukan perhatian kepada bidang yang dipelajarinya.
Katanya, setiap hari beliau akan menumpukan masa sekurang-kurangnya empat jam untuk mengulang kaji pelajaran dan menumpukan sepenuh perhatian kepada tutorial.
Siswazah dari Kajang, Selangor itu sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah di peringkat universiti antaranya Anugerah Dekan bagi setiap semester, Anugerah Syed Kechik UPM 2004 dan Anugerah Tunku Abdul Rahman 2004. - Bernama

No comments: