'Pintar' ~ smart, intelligent, & wise.

Saturday, December 8, 2007

Sifat mahmudah

Sifat mahmudah, sifat mulia yang perlu kita amalkan. Sifat mazmumah pula sifat keji yang perlu kita jauhkan. Sifat mahmudah apabila menjadi amalan akan sebati dengan jiwa kita dan dapat memandu kita ke jalan ketenangan dan kebahagiaan. Walaupun didepani dengan apa jua dugaan, kita tetap tabah. Yang penting ialah kita tetap berdiri teguh, menghulurkan yang terbaik kepada keluarga, jiran, rakan-rakan, dll.

Perlu kita ingat apabila kita berbuat sesuatu yang baik kepada sesiapa pun, selain dengan sepenuh ikhlas hati, kita tidak boleh mengharapkan apa-apa balasan pun daripada individu tersebut. Kita tidak perlu kecil hati atau sedih sekiranya orang yang telah kita beri jasa, kelihatan seolah-olah tidak menghargai, mengingati atau membalas baik baik dan sumbangan kita. Ini adalah kerana balasan yang terbaik yang perlu kita harapkan hanyalah daripada Allah yang maha Esa. Antara balasan Allah, ialah insyaAllah kita akan rasai rezeki kita lebih murah, hidup kita lebih senang dan tenang, hidup kita penuh rahmah. Bila kita selalu tolong dan memudahkan orang lain, Allah akan berbuat demikian juga kepada kita, malah lebih baik lagi. Yakinlah!

Bagaimana pula jika kita melakukan perbuatan mazmumah? Sudah tentu balasan Allah sangat dahsyat, sangat mengerikan. Oleh itu, sekiranya kita berdepan dengan perbuatan buruk laku individu di sekeliling, rakan dan seteru, usahlah bimbang, usahlah buang masa cuba mencaci, mengata, memburukkan, berdendam dan berasa hasad serta cuba membalas perbuatan jahat individu tersebut, kerana Allah sahaja yang paling layak dan paling dahysat membalasnya daripada kita. Serahkan sahaja kepada Allah, dan kita akan dapati kita terus maju, rezeki kita lebih murah dan berlipat ganda, serta kita tidak tersangkut dengan hasad dan dengki yang menyusah dan boleh memundurkan kita.

Dalam menjalankan tugas keibubapaan, keredaan, balasan terbaik dan rahmat daripada Allah sangat diharapkan. Lakukanlah tugas mulia ini dengan penuh penghayatan dan sehabis baik. Jadikanlah tugas ini agenda utama hidup kita, dan bukan perkara kedua. Kerana tuntutan kerja, kadang-kala tugas keibubapaan disampingkan. Keperluan anak ditangguhkan, keperluan kerja dibereskan. Kerja mendapat perhatian sepenuh masa, anak mendapat perhatian separuh masa! Demi kerja anak dan keluarga, boleh terkorban menjadi mangsa!

Sebagai ibu bapa, menjadi tanggung jawab kita mengasuh dan mendidik anak-anak. Tanggung jawab ini besar, bukan kecil. Jangan kita ambil mudah. Sangat besar dosanya jika ia diabaikan.

Kita wajib lakukan tugas keibubapaan ini dengan cara yang terbaik. Syarat pertama ke arah itu ialah kita perlu ada ilmu keibubapaan. Hanya dengan ilmu tersebut kita akan dapat menjalankan tugas keibubapaan dengan lebih berkesan. Terutama di zaman kini, yang lebih canggih, ilmu sangat dititik beratkan. Jangan anggap ilmu keibubapaan sebagai mudah dan remeh. Apabila kita belajar mengenainya baru kita akan tahu, ia tidak semudah yang kita sangkakan. Ilmu keibubapaan begitu luas dan merangkumi daripada aspek sains fizikal/tulen dan sains kemanusiaan/sosial. Maka berusahalah untuk mencari ilmu ini. Lazimnya yang membezakan di antara orang yang berjaya dengan yang gagal adalah dari segi ilmu yang dimiliki. Kepintaran boleh memandukan kita bertindak dan membuat pilihan yang terbaik……jadilah PARENT PINTAR!

Untuk menjadi ibu bapa pintar, mengamalkan sifat mahmudah sangat dituntut. Ibu bapa adalah contoh atau model kepada anak-anak. Peribahasa, "bapa borek, anak rintik", mengingatkan kita tentang impak kita terhadap anak-anak. Bagi orang Islam, mengasuh anak dengan persekitaraan rumah islamik adalah ditegaskan. Asas atau foundation suasana Islamik itu perlu disediakan oleh ibu dan bapa. Mula daripada peringkat awal hidup anak, satu lagi peribahasa mengingatkan kita tentang perkara ini, "melentur buluh, biarlah daripada rebungnya". Kalau perkara ini (mendidik daripada awal) kita abaikan, kesan buruknya akan kita terima, kalau tidak di dunia, di akhirat pasti kita terima.

No comments: