'Pintar' ~ smart, intelligent, & wise.

Friday, January 16, 2009

KANAK-KANAK LEBIH PATRIOTIK

Kanak-kanak lebih cenderung untuk bergaul mesra dengan kanak-kanak lain tanpa mengira agama dan bangsa berbanding dengan orang dewasa. Hal ini kerana mereka bergaul berlandaskan aktiviti yang mereka suka seperti bermain permainan yang mereka gemari. Selain itu, kanak-kanak juga lebih naif dan tidak memihak kepada mana-mana pihak atau kumpulan serta tidak membuat penilaian berdasarkan nilai dan persepsi seperti orang dewasa.

Orang dewasa memberikan nilai dan persepsi mengikut pengaruh sosialisasi dan pengalaman hidup sehingga keadaan tersebut mempengaruhi tingkah laku mereka. Orang dewasa juga terdorong untuk memperjuangkan fokus dan minat mereka. Ini menjadikan mereka kelihatan tidak bersatu berbanding kanak-kanak. Kanak-kanak kelihatan lebih bersatu kerana mereka melakukan sesuatu tanpa fokus dan lebih kepada minat sahaja. Kanak-kanak bergaul demi mencapai keseronokan bukan kerana kepuasan hidup kerana mereka belum menempuh kehidupan yang kompleks seperti orang dewasa.

Walau bagaimanapun, setiap individu perlu disosialisasikan sejak peringkat awal lagi oleh keluarga dan masyarakat dengan nilai-nilai positif seperti bekerjasama, hormat-menghormati dan berbaik sangka. Hal ini kerana demi melahirkan masyarakat yang bersatu padu, mereka perlu dilatih atau dididik sedari keci lagi. Kajian sosial sendiri menunjukkan peranan kelurga sangat penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan kanak-kanak supaya masyarakat yang bersatu padu dapat dilahirkan. Keluarga merupakan asas kepada segala-galanya. Jika baik asuhan keluarga itu maka baik jugalah generasi itu. Selain daripada keluarga, institusi dan ejen sosialisasi yang lain seperti sekolah dan media juga perlu memainkan peranan mereka dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat. Usaha yang berterusan diperlukan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.

Apabila semangat perpaduan dipupuk sejak kecil lagi, masyarakat yang lahir itu lebih mudah untuk dibentuk menjadi insan yang mudah menjalinkan kerjasama dan bersatu dengan orang lain tanpa prasangka. Kanak-kanak mudah untuk menterjemahkan sesuatu perlakuan kepada umum. Mereka sering menjadikan orang dewasa sebagai model mereka dalam melakukan sesuatu. Sebagai contoh, mereka akan menghormati jiran yang berlainan bangsa dan agama jika ibu bapa mereka menghormati jiran tersebut. hal ini secara tidak langsung telah menunjukkan bahawa kanak-kanak cepat menerima sesuatu perkara tanpa banyak soal kerana mereka menganggap bahawa semua yang berlaku di hadapan mata mereka adalah benar dan perlu diikuti tanpa banyak soal.

No comments: