'Pintar' ~ smart, intelligent, & wise.

Sunday, March 3, 2013

16 siswazah cemerlang dianugerah Pingat Emas Wanita UMNO

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Sebanyak 16 siswazah wanita yang mencatat kecemerlangan akademik telah dipilih untuk menerima Anugerah Pingat Emas Pergerakan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.Pengerusi Biro Pendidikan dan Hal Ehwal Pelajar Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Maznah Mazlan berkata, anugerah itu yang diilhamkan oleh Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Rafidah Aziz diwujudkan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Katanya, anugerah kali keenam itu menjadi dorongan kepada pelajar serta ibu bapa untuk meningkatkan tahap pencapaian anak-anak mereka.
"Selain pengiktirafan yang diberi, tahun ini Biro Pendidikan turut memuatkan maklumat mengenai Skim Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (SSPN) dalam buku cenderamata untuk rujukan bersama," katanya Maznah.
Menurutnya, anugerah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penyertaan dalam skim tersebut demi memastikan pembiayaan pendidikan anak-anak terjamin pada masa hadapan.
Kesemua 16 penerima anugerah tersebut merupakan siswazah lepasan 16 institusi pengajian tinggi awam dari seluruh negara yang dipilih oleh panel pemilihan Wanita UMNO.
Salah seorang penerima anugerah itu, Nor Sheereen Zulkefly, 21, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pembangunan Manusia dengan gred purata mata kumulatif CCGPA) 4.0 daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dia yang kini bertugas sebagai pembantu penyelidik di Fakulti Ekologi Manusia UPM berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang psikologi klinikal sehingga ke peringkat tertinggi.
Sheereen menganggap anugerah tersebut sebagai dorongan untuk beliau membuktikan wanita Melayu juga boleh berjaya setanding dengan kaum lain.
"Saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah dan pakar dalam bidang itu,'' katanya ketika ditemui di PWTC.
Seorang lagi penerima, Nawal Radhiah Abdul Rahman, 24, yang kini bertugas sebagai doktor gigi di Hospital Alor Star berkata, beliau amat terharu dengan anugerah yang diterimanya daripada Wanita UMNO.
"Ini merupakan kali keenam saya menerima anugerah tertinggi semenjak belajar, selain memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Penyelidikan Persatuan Pelajar Perubatan Asia Pasifik ke-32 (APDSA) 2005,'' katanya.
Nawal Radhiah berkata, anugerah yang diterima juga mendorongnya untuk melibatkan diri dengan kerja-kerja amal dalam membantu masyarakat.
"Saya ingin terbabit dengan kerja-kerja amal seperti bertugas pada waktu bencana dan mungkin juga terlibat dengan Puteri UMNO bagi membantu saya merealisasikan impian itu,'' katanya.
http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_29.htm

No comments: